KUALA LUMPUR: Penghibur tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang hanya mampu mengungkap lafaz ‘Allahuakbar’ sebaik dimaklumkan oleh wartawan Astro AWANI mengenai pemergian komposer veteran tanah air, Tan Sri Ahmad Nawab.

Seniwati yang memiliki sejarah panjang persahabatan dengan Allahyarham Ahmad Nawab seakan tidak percaya menerima khabar duka itu.

“Ya Allah saya amat terkejut dan sangat berduka dengan pemergian Tan Sri Ahmad Nawab selang seminggu selepas komposer Datuk S Atan kembali ke rahmahtullah.

“Saya sangat-sangat bersedih dengan berita ini,” kata Hetty kepada Astro AWANI ketika dihubungi sebentar tadi.

BACA: Maestro muzik tanah air, Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun

Sepanjang kerjaya seninya, Hetty pernah bekerjasama dengan Ahmad Nawab dengan merakamkan beberapa buah lagu ciptaan Allahyarham sekitar tahun 1980-an.

Dari kaca mata Hetty, Ahmad Nawab merupakan seorang seniman hebat yang pernah dilahirkan dalam industri muzik Malaysia.

“Saya amat menghormati Allahyarham Ahmad Nawab sejak dari awal perkenalan sehingga ke detik ini. Pemergian beliau merupakan kehilangan satu aset utama kesenian di Malaysia.

“Saya benar-benar terkejut dan hanya mampu berdoa semoga Allah S.W.T meletakkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang beriman,” ujar Hetty lagi.

Seniwati berusia 67 tahun yang ketika ini berada di ibu negara bagi memenuhi komitmen sebagai pengkritik tetap program Gegar Vaganza terbitan Astro berkata, beliau akan meluangkan masa untuk memberi penghormatan terakhir kepada sahabat seninya itu sebaik episod pertama malam ini berakhir.

Allahyarham Ahmad Nawab yang berusia 92 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Taman Melewar, Gombak sekitar pukul 3.15 petang tadi.

Ahmad Nawab merupakan komposer veteran yang telah menghasilkan ribuan lagu popular nyanyian ratusan artis ternama tanah air.

Antara karya seni Allahyarham Ahmad Nawab yang malar segar ialah seperti Tiada Maaf Bagimu nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu (Ramlah Ram) dan Ku Sangka Siang Kiranya Malam (Datuk Khatijah Ibrahim).