KEMAMAN: Sebuah premis membekal alatan pertukangan dikompaun di sebanyak RM10,000 kerana gagal mematuhi kapasiti kehadiran pekerja.

Kesalahan itu dikesan menerusi operasi yang  yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Kilang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi berkata pemilik kedai tersebut telah dikompaun di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Menurut Hanyan operasi tersebut dilakukan susulan aduan dari orang awam berkaitan perlanggaran SOP di premis industri tersebut.

Hasil pemeriksaan pihaknya mendapati pemilik premis tersebut telah gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja di mana pekerja yang hadir adalah sebanyak 80 peratus manakala kapisiti pekerja yang dibenarkan adalah sebanyak 60 peratus sepanjang PKP penuh.

Selain itu pemilik premis terbabit turut dikesan gagal mematuhi beberapa SOP lain seperti gagal mengawal laluan keluar masuk pelanggan ke dalam premis dan gagal membuat saringan gejala kepada pelanggan.

Tambah Hanyan, selain daripada itu pemilik terbabit juga didapati gagal melakukan kerja pembasmian kuman secara harian di kawasan umum seperti yang dinyatakan di dalam SOP.

Hanyan berkata bagi kesalahan tersebut pemilik premis perindustrian terbabit telah diberikan amaran dan pihaknya akan melakukan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan kesemua SOP dipatuhi oleh pemilik premis terbabit.

Beliau turut memberikan amaran kepada pemilik industri agar dapat mematuhi segala SOP yang telah dikeluarkan bagi mengelak dikenakan tindakan dan pihaknya akan giat melakukan pemantauan bagi memastikan kesemua SOP dapat dipatuhi.

Hanyan berkata sebanyak 133 premis telah diperiksa bermula 31 Mei lalu dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 59 syarikat telah dikompaun dengan jumlah kompaun sebanyak RM590,000 atas pelbagai kesalahan ingkar SOP PKP.