Pembebasan 47 rakyat Malaysia selepas 67 hari menjadi tahanan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey pada Jumaat diselesaikan mengikut prinsip kedaulatan undang-undang Kemboja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan.

Beliau berkata terdapat proses dokumentasi perlu dipatuhi terlebih dahulu memandangkan kesemua tahanan telah menginap lebih masa dan lapan daripadanya kehilangan pasport.

"Pada Khamis lalu, Jabatan Kehakiman telah mengeluarkan surat pembebasan dan saya terus menyerahkannya kepada pihak penjara.

"Bagaimanapun terdapat beberapa perkara berkenaan dokumen perjalanan diri harus diselesaikan.

"Setiap negara termasuk Malaysia sendiri ada undang-undang bagi mereka yang duduk lebih masa dan pasport hilang.

"Untuk kes tinggal lebih masa, kami (Kemboja) perlu siapkan dokumen supaya di lapangan terbang tidak ada masalah dengan Imigresen," katanya.

BACA: Kes Kemboja: Jadikan kejadian yang menimpa sebagai iktibar

BACA: 47 warga Malaysia di penjara Kemboja dibebaskan

Bercakap pada sidang media selepas memberi taklimat kepada 47 bekas tahanan di sebuah hotel di Banteay Meanchey pada Sabtu, Othsman berkata hubungan baik Kemboja dengan Malaysia turut membantu dalam proses pembebasan ini.

"Walaupun saya orang Islam, tapi saya bukan bekerja untuk orang Islam sahaja. Saya berkhidmat untuk rakyat dan kerajaan Kemboja. Jadi ada peraturan yang perlu kita patuhi.

"Namun, hubungan baik kedua-dua negara juga memainkan peranan agar masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.

BACA: Wakil Malaysia berangkat untuk temui 47 yang ditahan di Kemboja

BACA: Tahanan Kemboja 'dipenjara' dalam banglo sebelum diberkas

-- BERNAMA