BUTTERWORTH: Seorang pembantu tadbir  didakwa di Mahkamah Sesyen, Butterworth  hari ini atas lima pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan dengan mengesyorkan syarikat milik anak lelakinya berhubung kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan peralatan bernilai RM8,890, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zulkrnin Abdul Rashid, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas  kesemua dakwaan tersebut selepas pertuduhan keatasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu pembantu tadbir gred N22 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan.

Tertuduh didakwa  mengesyorkan syarikat milik anak sulungnya, Salam Rizqi Maju Enterprise bagi kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan peralatan melalui lima Nota Minta yang keseluruhannya bernilai RM8,890.

Pengesyoran itu membabitkan perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubok ke ILP Arumugam Pillai bernilai RM550 dan kerja pembekalan poster COVID-19 untuk kegunaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) berjumlah RM950.

Mohd Zulkrnin turut didakwa mendapatkan suapan membabitkan kerja pembekalan peralatan pencegahan dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 bernilai RM4,790, membekalkan makanan dan minuman bernilai RM600 serta membekalkan jata negara dan pemasangan cermin gelap kenderaan jabatan bernilai RM2,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ILP Arumugam Pillai di Nibong Tebal, antara Februari hingga Julai 2020.

Tertuduh yang kini ditukarkan perkhidmatan ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula pada 21 Oktober depan.