KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan sedang meneliti untuk meneruskan Program Sungai Nadi Kehidupan (RoL), agar sungai di ibu kota kekal bersih dan indah setanding dengan negara-negara maju.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, perancangan untuk pembangunan RoL 2.0 itu, akan meliputi aspek pembangunan, pengindahan dan kaedah dalam mengawal banjir besar, di Kuala Lumpur.

"Kita akan membina River City di bahagian utara RoL 1.0, dengan menggunakan teknologi dengan sungai yang kualiti airnya kurang baik berada di bawah, manakala sungai di tahap kualiti rekreasi akan berada di atas, dalam bentuk 'double decking'.

"Perbincangan sedang dilaksanakan dengan pelbagai pihak termasuk swasta, untuk mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada peruntukan atau dana kerajaan pusat semata-mata," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan dan melancarkan figura Ejen Ali, sebagai ikon kempen kesedaran alam sekitar khusus bagi projek RoL, di Jambatan Leboh Pasar, di sini, pada Ahad.

Katanya ketika ini beberapa syarikat termasuk swasta telah dipanggil, untuk membuat pembentangan kertas kerja tentang perkara itu dan syor-syor itu akan dilihat dengan teliti.

Selain itu, katanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga, sedang mengkaji keluasan tanah-tanah rizab kerajaan di sepanjang sungai dari Brickfields sehingga ke sempadan Selangor, yang akan dilibatkan dengan projek itu.

Pada masa sama beliau berkata, kementeriannya juga akan melihat bagaimana dapat memperketatkan penguatkuasaan undang-undang, sebagai usaha mengawal pencemaran alam sekitar terutamanya mengenai kepentingan penjagaan sungai.

"Isu sungai juga ada kaitan dengan banjir, jadi kita terpaksa menguruskan sungai bukan dari segi fizikal dan pengindahan sahaja, tetapi juga memastikannya berfungsi dengan baik untuk mengawal banjir di Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya selagi rakyat tidak menghargai dan memelihara kebersihan sungai segala usaha pengindahan hanya menjadi sia-sia sahaja.

Sementara itu, inisiatif memperkenalkan Ejen Ali sebagai ikon RoL itu diharap, dapat memberi lebih impak kepada usaha untuk memberi pemahaman kepada orang ramai tentang objektif dan manfaat projek itu, dalam penjagaan sungai di Kuala Lumpur sekali gus menjadi satu tarikan pelancongan baharu di kawasan itu.

-- BERNAMA