KUALA LUMPUR: Kemajuan kerja-kerja pembinaan infrastruktur rel projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura telah mencapai 83 peratus setakat akhir Julai lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pembangunan RTS Link yang dijadual memulakan operasinya pada 1 Jan, 2027, juga berjalan mengikut jadual.

"Pemasangan sistem oleh RTS Operations Systems Sdn Bhd (RTSO) pula dijangka dilaksanakan pada akhir tahun ini.

"Penyiapan infrastruktur rel ini akan membolehkan RTSO memulakan kerja- keja pemasangan sistem yang merangkumi kerja-kerja landasan, pengangkutan rel, sistem isyarat serta bekalan dan agihan tenaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian jual beli ruang letak kereta antara Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS) dan Coronade Properties Sdn Bhd di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Loke berkata pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar juga mengikut jadual dengan pembinaan substruktur bangunan telah siap manakala kerja-kerja pembinaan bangunan kini giat dilaksanakan.

Akses bagi pemasangan peralatan dan sistem untuk agensi-agensi yang bakal beroperasi di CIQ dijangka dapat dimulakan pada Ogos 2025, katanya.

Mengambil maklum peningkatan bilangan penumpang harian RTS Link kelak, beliau berkata kemudahan sokongan awam seperti kemudahan tempat letak kenderaan mencukupi perlu dipertingkatkan.

Ini termasuk usaha MRT Corp membina kemudahan parkir bertingkat Park 'N Ride baharu di Bukit Chagar untuk penumpang RTS Link yang merangkumi 1,500 ruang meletak kenderaan.

Usaha itu turut melibatkan perjanjian hari ini antara MRTS dan Coronade Properties bagi menyediakan masing-masing 781 unit ruang parkir kereta dan motosikal tambahan khusus untuk penumpang RTS Link di Coronation Square, kira-kira 400 meter dari Stesen Bukit Chagar.

"Sebuah jejantas pejalan kaki menghubungkan Coronation Square ke Kompleks CIQ akan dibina oleh Coronade Properties bagi kemudahan pengguna RTS Link.

"Kesemua kemudahan bagi melengkapkan infrastruktur perkhidmatan RTS Link akan direka bentuk dengan teliti untuk memastikan penumpang menikmati perjalanan lancar dari Malaysia ke Singapura dan sebaliknya," katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata mengambil maklum kesesakan trafik di bandar raya Johor Bahru yang kian meningkat, kementerian sedang meneliti pelan penyuraian trafik bagi Wilayah Iskandar Malaysia.

Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan itu, katanya, akan melengkapkan lagi pembangunan infrastruktur di sekitar Johor Bahru serta meningkatkan keadaan trafik secara keseluruhan di bandar itu serta kawasan sekitarnya.

"Inisiatif ini merangkumi pembangunan pengangkutan awam darat yang akan ditambah baik dan membolehkan kesinambungan terus ke Kompleks CIQ di Bukit Chagar dan International Ibrahim Business District (IIBD)," katanya.

Pilihan jalan raya masuk bagi kenderaan memasuki Kompleks CIQ adalah melalui Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Tebrau, Jalan Jim Quee serta Jalan Tunku Azizah.

"Bagi mengatasi isu ini, kerajaan mengutamakan pelaburan melebihi RM200 juta bagi infrastruktur pengangkutan awam di sekitar Bukit Chagar yang bukan sahaja memenuhi permintaan semasa, tetapi juga mengambil kira pembangunan di masa depan," katanya.

--- BERNAMA