KUALA LUMPUR: Cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kuarters penjawat awam terutama jenis pangsapuri di Putrajaya sedang dalam pertimbangan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk dilaksanakan secara berperingkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif itu selaras dengan visi Bandar CHASE (Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam) dengan antara paksi tindakan yang digariskan adalah menjadikan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai sebuah bandar raya pintar.

"Sebagai permulaan, kesemua lif kuarters akan dipastikan lengkap dengan CCTV memandangkan lif merupakan kawasan paling sensitif kepada vandalisme, jenayah dan juga kecelakaan dalam premis berstrata.

"Dalam hal ini, BPH akan memberi keutamaan kepada kerja-kerja penggantian set lif baharu yang datang bersekali dengan CCTV melalui inisiatif Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR)," katanya menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai status cadangan pemasangan CCTV di semua pangsapuri kuarters penjawat awam Putrajaya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pemasangan CCTV di bawah projek STAR melibatkan 102 unit CCTV dalam lif di lima kuarters kerajaan jenis pangsapuri di Presint 9, 11, 16 dan 18.

Pada masa sama, Dr Zaliha berkata Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang memohon peruntukan bagi pemasangan CCTV di laluan keluar masuk ke jalan utama dari kuarters penjawat awam sama ada jenis pangsapuri ataupun rumah bertanah.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 531 unit CCTV telah dipasang dan diselenggara PPj di seluruh Putrajaya.

-- BERNAMA