KUALA LUMPUR: Pemandu kereta Mercedes-Benz GLE450 AMG Coupe yang tular kerana disyaki melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di sini telah ditahan pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Pemandu kereta Mercedes-Benz GLE450 AMG Coupe yang melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai telah ditahan.
  • Penunggang motosikal mengalami kecederaan di kepala, muka, dan perut, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 12.35 tengah hari apabila seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun menunggang motosikal Honda Vario 160 di lorong kiri telah dilanggar kenderaan tersebut.

"Akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal jatuh di jalan raya, manakala lelaki berusia 34 tahun yang memandu kereta itu tidak berhenti dan terus memandu ke arah Wangsa Maju.

"Kereta itu kemudian berhenti di Kilometer 18.1 Lebuhraya SPE sebelum Plaza Tol Wangsa Maju kerana mengalami kebakaran bermula dari bahagian bonet hadapan," ujarnya.

Beliau berkata, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di kepala, muka dan perut, manakala pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987," katanya.

Mohd Zamzuri berkata, orang ramai dinasihatkan memandu dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain.

"Sekiranya terlibat di dalam kemalangan adalah menjadi tanggungjawab kepada pengguna jalan raya untuk membuat laporan polis.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Balai Polis Trafik di talian 03 - 2026 0267/69 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran," katanya. -Sinar Harian