SELAMA: Pemandu sebuah lori tangki maut manakala kelindannya cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Sungai Dendang, Jalan Bukit Rona Pinang, dekat sini, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Noor Hadi Mohd, 38, manakala yang mangsa cedera dikenali Kamarusin Abd Aziz, 47.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Pengelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 10.16 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki terbabas di bahu jalan menyebabkan dua orang tersepit.

“Pemandu telah disahkan maut di lokasi oleh pegawai perubatan manakala kelindan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.



Jurucakap itu berkata, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat di samping bantuan jentera berat untuk mengeluarkan mangsa.

Mangsa yang maut diserahkan kepada polis manakala kelindan yang cedera diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.

Operasi dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama dengan dibantu anggota dari BBP Serdang.

Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Nor Khairi Johari tamat jam 12.48 tengah hari.