PUCHONG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa kes siasatan melibatkan serangan terhadap seorang pemandu e-hailing yang kurang upaya (OKU) pada 28 Mei telah ditutup dan tiada tindakan terhadap pegawai pengiring yang terlibat.

Beliau berkata, semua pihak harus bersabar dan jangan bersifat menghukum sebelum siasatan selesai, atau sebelum mengetahui tindakan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tegasnya lagi, biarpun negara ini berpegang kepada hukum, tetapi semua pihak tidak boleh sewenang-wenangnya membuat hukuman sendiri dan mendahului pihak berkuasa yang berkaitan.

“Saya tak setuju … prinsip negara ini negara hukum betul, tetapi jangan kita menghukum berdasarkan khabar angin atau persepsi. Ada bukti jelas … kes ini, siapa kata tutup? Kadang-kadang proses ambil masa, tapi ini memang menjadi perhatian.

“Saya secara peribadi mengambil tahu, tentang hal demikian sama ada kes melibatkan OKU atau orang biasa. Tetapi saya nak ingatkan di sini kadang-kadang kita menghukum sebelum siasatan atau sebelum tahu keputusan siasatan yang mesti dirujuk pada Peguam Negara, yang akhirnya hendak putuskan dakwa atau tidak,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini pada Jumaat.

Awal bulan ini, media melaporkan hampir 200 individu mewakili kumpulan OKU, aktivis dan badan bukan kerajaan, serta pekerja e-hailing telah menggesa Perdana Menteri untuk campur tangan, selepas mendakwa tiada apa-apa tindakan terhadap pihak yang mengarahkan pemandu tersebut, Ong Ing Keong menarik balik laporannya.

Wakil kumpulan berkenaan memberitahu media, mereka telah menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, yang berkata akan memastikan ia mendapat perhatian Anwar.

Ong, 48, didakwa dipukul seorang pegawai juruiring rombongan kenamaan di lobi salah sebuah hotel di ibu negara pada Mei lepas, atas alasan dia telah menghalang laluan rombongan tersebut.