Pemandu kenderaan e-hailing atau Grab di Perak meminta kerajaan menyelaraskan harga lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan skim pembayaran insurans berikutan kadar yang ditetapkan berbeza-beza mengikut kawasan dan negeri.

Seorang pemandu, Ramli Ahmad Razali, 50, berkata perkara ini perlu diberi perhatian berikutan kebanyakan pemandu di negeri ini mempersoalkan harga lesen PSV dan insurans yang dikenakan ke atas mereka berbeza.

"Kita menyokong usaha kerajaan yang menetapkan harga lesen PSV yang perlu dibayar oleh pemandu e-hailing tetapi kerajaan perlu mengkaji semula sistem e-hailing termasuk penetapan harga lesen PSV dan insurans yang dilihat sangat bercelaru serta tidak seragam di seluruh negara.

"Sebagai contoh, harga lesen PSV di Kuala Lumpur hanya RM80 hingga RM90 manakala di Tanjung Malim pula dikenakan sebanyak RM130 dan beberapa kawasan di Perak ada yang dikenakan sehingga RM200...mengapa di Perak lebih mahal harga lesen yang dikenakan berbanding di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan aman yang disertai kira-kira 50 pemandu e-hailing di pekarangan Stadium Perak di sini hari ini.

Pada November tahun lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata semua pemandu perkhidmatan 'e-hailing' mesti membuat pendaftaran lesen PSV seperti pemandu teksi lain mulai Januari tahun ini.

Loke berkata pemandu diberi tempoh sehingga 12 Julai tahun ini untuk menyelesaikan pendaftaran lesen PSV mereka termasuk mengikuti kursus PSV.

-- BERNAMA