Hajat seorang lelaki warga Taiwan dan pasangannya untuk menikmati keindahan Tasik Dayang Bunting di Langkawi Kedah, berakhir tragedi apabila dia mati lemas sewaktu berenang di tasik berkenaan, pagi tadi.

Pelancong lelaki terbabit, Chiau Yan Lin, 20, dikatakan telah ke Pulau Dayang Bunting bersama teman wanitanya daripada Pulau Langkawi awal pagi tadi dengan menaiki bot yang dikendalikan oleh sebuah agensi pelancongan.

Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, Mohamad Zabidi Che Teh, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.28 pagi dan tiba di Tasik Dayang Bunting pada jam 11.50 pagi.

Mayat mangsa ditemui pada dasar tasik di kedalaman kira-kira 10 meter.

Mayat kemudian dibawa ke jeti pekan Kuah untuk diserahkan kepada pihak polis dan kemudian dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

Sementara itu, menurut sumber daripada ejen pelancongan, mangsa dikatakan tidak sabar untuk mandi manda di tasik itu dan turun ke tasik itu tanpa meminta kebenaran daripada mereka dan tanpa memakai jaket keselamatan.

Tasik Dayang Bunting merupakan tasik air tawar yang sering menjadi tumpuan pelancong asing di Langkawi.

Jarak perjalanan dengan menaiki bot ke Pulau Dayang Bunting daripada jeti Kuah mengambil masa kira-kira 30 minit.