Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

Menurutnya, pelan yang sudah di peringkat pemurnian itu kemudian akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja sebelum dilaksanakan.

Jelas Muhyiddin kajian Pelan Pembangunan Pendidikan yang dijalankan sejak setahun lalu dengan matlamat menaiktaraf sistem pendidikan negara sehingga tahun 2025 kini selesai.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelan berkenaan mampu melahirkan modal insan lebih baik, sekaligus menjadikan Malaysia negara berdaya saing di peringkat global.

“Ia hasil daripada kebijaksanaan pimpinan negara mengatur, menyusun dan melaksanakan. Dia terjadi kerana ada perancangan, keberanian, berpandangan jauh, ada visi, ada keupayaan dan ada sokongan masyarakat. Sebab itu kita berjaya.” kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berucap di Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor, Perak.

September lalu, Perdana Menteri melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.