KLUANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dirinya terlibat dalam pemberian tender perkhidmatan 1BestariNet ketika menjadi Menteri Pendidikan.

"Wallahi, satu sen pun saya tidak ambil," katanya ketika menjawab soalan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan terpulang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

"Benar ketika itu saya merupakan Menteri Pendidikan tetapi dicadangkan untuk mengadakan tender terbuka, terbuka 'international' dan keputusan dibuat oleh Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

"Satu daripada rancangan asal program ini adalah untuk semua sekolah di negara kita mempunyai internet. Tetapi soal pelaksanaan itu ada masalah lain, saya tidak tahu apa sebabnya. Mengenai SPRM hendak siasat itu hak dia, saya tidak terlibat dalam soal itu.
," katanya.

Muhyiddin berucap pada majlis Kenduri Rakyat di Kampung Bentong, Kluang pada Jumaat.

"Jangan ada yang buruk sangka kerana berlaku ketika itu saya menteri (pendidikan), saya tidak lihat kontrak, tidak tengok apa peruntukan, semua disediakan kerajaan, Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Kenduri Rakyat di Kampung Bentong di sini pada Jumaat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan beliau hanya mengetahui mengenai siasatan SPRM berhubung tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet di surat khabar.



"Ada cerita baharu tentang tuntutan palsu, saya tak tahu, saya baca yang ditulis di dalam surat khabar sahaja.

"Sebelum ini saya pernah disiasat, sebab ada yang buat aduan namun tiada sebarang tindakan diambil. Saya tidak tahu mengapa ia dibangkitkan semula," katanya.

Pada Rabu, SPRM dilaporkan memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd pada 2011.

Menurut sumber, SPRM telah membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan pejabat YTL di Kuala Lumpur pada Rabu.

SPRM juga difahamkan sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan yang menjurus kepada dokumen tuntutan mengandungi butiran palsu membabitkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion. -- Sinar Harian