Cadangan melaksanakan pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini secara 24 jam perlu penelitian secara menyeluruh terutama dari segi tahap kesediaan dan implikasi yang akan dihadapi, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

"Bagi kita tiada halangan untuk dilaksanakan tetapi semakan perlu dilakukan terlebih dahulu sama ada sempadan dan laluan rasmi Kelantan sudah menepati standard yang memuaskan atau tidak dan kemudahan mencukupi untuk menerima dan mengawal mereka dalam tempoh itu.

"Implikasi ke atas aspek perniagaan, sosial dan ekonomi juga perlu diteliti agar situasi menang-menang diperoleh kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Fun Run Kelmantan di sini, hari ini yang turut dihadiri timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata tempoh pembukaan sempadan sehingga pukul enam petang ketika ini mungkin boleh dipanjangkan sehingga ke pukul 10 berbanding 24 jam dan kerajaan tidak perlu tergesa-gesa dalam hal itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatannya ke Thailand minggu lepas dilaporkan sebagai berkata Malaysia dan Thailand bersetuju untuk membuka pintu sempadan 24 jam sehari bagi menggalakkan perdagangan kedua-dua negara.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata tindakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Dari segi politiik itu hak masing-masing cuma kini beliau perlu berdepan dengan kawan-kawan UMNOnya dan itu lebih berat daripada berdepan dengan kita," katanya.

-- BERNAMA