Seorang pelakon drama dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas dakwaan memikat isteri orang dan mengajak melakukan persetubuhan dengannya.

Bagaimanapun, tertuduh Muhammad Shah Radhi Hazvee, 24, yang memakai t-shirt belang berwarna kelabu dan hitam serta berseluar khakis, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, pelakon drama ‘Monalisa dan Hero’ itu didakwa memikat seorang wanita berusia 36 tahun yang mana tertuduh ketahui dia adalah isteri yang sah kepada seorang lelaki berusia 38 tahun supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Sering, Ukay Perdana, di sini, pada jam 8 malam, 25 Mei lepas dan didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BACA: Pelakon muda ditahan jalin hubungan dengan isteri orang

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Sangitaa menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Harcharanjit Singh, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

"Jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Anak guam saya seorang artis dan ramai media di luar membuat liputan kes ini, jadi tiada sebab dia mahu melarikan diri," kata Harcharanjit.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan kes.

-- BERNAMA