Pelakon dan kru syarikat produksi penggambaran tidak diwajibkan menjalani ujian swab COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, ia berikutan ujian berkenaan hanya akan diwajibkan jika ada kes positif COVID-19 di lokasi berkenaan.

"Untuk pelakon, syarikat produksi dan kru, tidak diwajibkan membuat ujian swab kerana kita hanya melakukan ujian swab apabila timbul COVID positif di kawasan tersebut.

"Kawasan penjara misalnya tak pernah kita lakukan ujian swab tetapi apabila berlaku kes positif, di Penjara Sungai Buloh, maka kita sekat seluruh blok terlibat dan arahkan 600 banduan buat ujian swab secara wajib," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

BACA: Penggambaran filem, drama, iklan dan sebagainya dibenarkan bermula 10 Jun

Bagaimanapun beliau mengalu-alukan langkah berkenaan jika syarikat produksi mahu berbuat demikian.

"Maka kalau ada kes, baru kita wajibkan ujian swab, maka nanti tidaklah berlaku kluster penggambaran filem. Namun kalau mereka nak buat secara sukarela kita alu-alukan," ujarnya lagi.


Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengingatkan pendandan produksi penggambaran agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Ia termasuk memakai pelindung muka atau face shield dan memastikan alat solek yang digunakan hanya khusus untuk setiap artis serta tidak dikongsi.

"Mengenai pendandan, bukan penggunting rambut ya, ada SOP yang telah mereka bangunkan iaitu pendandan mesti pakai face shield, sarung tangan dan peralatan khusus untuk setiap individu, dan tak dikongsi iaitu setiap artis itu berbeza, tidak ada percampuran alat mekap dan sebagainya," katanya.

Syarikat produksi juga perlu melantik penyelia keselamatan untuk memantau pematuhan SOP di kalangan kru dan pelakon," tambahnya.