SHAH ALAM: Polis telah mendapat Perintah Untuk Menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi merakam percakapan seorang pelakon lelaki didakwa memukul teman wanitanya, di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu secara ringkas tanpa mengulas lebih lanjut.

“Ya sudah dapat (OTI),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pogram Anak Syurga bersama Al- Kauthar Eduqids di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menghubungi pelakon terbabit untuk hadir memberi keterangan.

“OTI kita sudah dapat dan pelakon tersebut telah dihubungi termasuk melalui aplikasi WhatsApp namun tidak berjawab dan dibalas.

"Kita akan membuat panggilan memberi keterangan kepada individu itu untuk hadir mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya telah merakam keterangan kakak mangsa sebagai saksi.

"Kita sedang menunggu laporan perubatan bagi membantu siasatan. Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan lengkap," ujarnya.

Pada Selasa, Shahrulnizam memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan perintah dari TPR untuk memanggil suspek bagi dirakam percakapan.

Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, pada jam 3 pagi.

Jelas Shahrulnizam, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Shahrulnizam berkata, sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian