Muhammad Imran Mohd Adnan, 17, anak kedua daripada empat beradik itu, bijak membahagikan antara mengulang kaji pelajaran dan menguruskan ibunya, Hazalina Md Arof, 45.
Rutin harian Muhammad Imran, setiap pagi selepas solat Subuh dia akan membuat sarapan, memberi ubat dan menukar lampin pakai buang ibunya sebelum siapkan diri dan dua adiknya Muhammad Ilyas, 11, dan Muhammad Ilham, 5, untuk ke sekolah.
Manakala sebaik pulang dari sekolah, dia akan uruskan masak untuk makan tengah hari dan memberi makan kepada adik dan ibunya.
Tugas menguruskan keluarga dipikul Muhammad Imran selepas abang sulung Muhammad Iqbal, 20, menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UITM) di Perlis.
Bapanya Mohd Adnan Jalaludin, 52, pula keluar berniaga sate di Pekan Kodiang setiap hari sejak pagi hingga malam untuk menyara keluarga.
"Saya bahagi masa kalau macam pukul 9 atau 10 malam, kalau mak tak sakit, saya ulang kaji sikit.
"Kalau macam ada rasa sakit saya tinggal sekejap urus tengok mak dulu, apa yang dia perlu, kalau dia sakit nak makan ubat, nak urut, saya urut dia dulu. Sudah urut sambung pula belajar," katanya.
Sifat ringan tulang pelajar cemerlang ini diterjemahkan dengan mengambil upah mesin rumput penduduk kampung dan sawah.
Dia yang menerima upah antara RM30 hingga RM50 akan melakukan perkerjaan itu pada cuti hujung minggu dan cuti penggal persekolahan.
Menurut Hazalina, dia dikesan menghidap penyakit itu sejak 2020 selepas terdapat ketulan di ketiak kanan.
Pada mulanya disangka ketulan biasa namun sebaik pemeriksaan doktor mengesahkan dia menghidap barah payu dara.
Hazalina sempat menjalani tiga pusingan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagaimanapun terpaksa berhenti rawatan pada tahun 2021 disebabkan ibunya sakit.
Namun tahun lalu, berlaku pendarahan pada ketulan di ketiak kanan menyebabkan Hazalina terus mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar dan doktor meneruskan kembali enam pusingan kemoterapi.
"Saya rasa bersalah sebab saya tidak teruskan dahalu, kesannya pada anak-anak saya.
"Mereka tidak boleh belajar dengan sempurna, tidak boleh buat aktiviti lain dengan sempurna sebab perlu jaga saya," katanya.