Seorang pelajar kolej swasta ditahan selepas menyamar sebagai 'polis' dalam satu operasi trafik di sekitar Parit Raja, dekat sini, awal pagi Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Muhammad Izzudin Runggai berkata dalam kejadian 2.45 pagi, lelaki berusia 19 tahun itu ditahan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Batu Pahat selepas menunjukkan kad pengenalan diri palsu.

Katanya pelajar terbabit turut memperkenalkan diri sebagai pegawai berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang sedang memantau penugasan polis di Batu Pahat.

"Curiga dengan dakwaannya, anggota bertugas terus melakukan pemeriksaan dan turut mendapati sepucuk pistol palsu selain sekeping gambar berukuran saiz pasport berseragam polis pada lelaki berkenaan.

"Turut ditemui beberapa aksesori seragam serta peralatan kerja seorang pegawai polis seperti topi, jaket kalis peluru, kunci gari, lampu suluh serta pisau," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Antara barangan dan aksesori polis yang dirampas daripada seorang remaja yang menyamar sebagai seorang pegawai polis di Parit Raja, dekat Batu Pahat, pada sidang media 2 Feb, 2020. --fotoBERNAMA

Muhammad Izzudin berkata menerusi siasatan didapati kesemua aksesori dan peralatan berkenaan dibeli oleh pelajar itu secara dalam talian sejak beberapa bulan lepas.

Katanya pelajar itu direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol tiruan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran.

"Jika sabit kesalahan, pelajar itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun dan juga denda sehingga RM5,000," katanya.

-- BERNAMA