Seorang pelajar tahun akhir sebuah kolej swasta telah dijatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda sebanyak RM1000 oleh mahkamah majistret.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu ke atas Umar Mohammad Azmi, 23.

Seramai tujuh orang saksi pendakwaan dan empat orang saksi pembelaan telah dipanggil selama perbicaraan yang telah berlangsung dari 30 Julai sehingga 28 November.

Umar, yang diwakili oleh Syahredzan Johan, telah didakwa pada 23 April lalu, yang juga merupakan tarikh lahirnya, atas tuduhan menghalang seorang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang Pegawai Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Masran Mamat, 34, daripada menjalankan tugas menangkap dan mengiringi Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 35, di Dataran Merdeka pada jam 8.05 pagi, 22 April lalu.

Bagi perbuatan itu, Umar didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wong Chai Sia.