Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga cuba bertindak membunuh diri dengan meminum racun jenis paraquat yang ditemuinya di dalam tandas sebuah sekolah di Buntong di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun oleh gurunya selepas mengalami muntah-muntah dan kini berada dalam keadaan stabil.

Pada mulanya mangsa mendakwa semasa sedang kencing di tandas sekolah tiba-tiba datang dari arah belakang seorang lelaki yang kemudian mencekik lehernya serta menuang cecair di mulutnya.

"Mangsa mendakwa dia meronta melepaskan diri lalu lari ke dalam kelas tanpa melihat suspek," kata Mohd Ali dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasil siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang bekas berisi racun dan mangsa tidak ingat di mana dia membuang botol racun tersebut selepas meminumnya.

Beliau berkata, ragu dengan keterangan yang diberikan mangsa, pegawai penyiasat mengambil keterangan pelajar itu sekali lagi Sabtu lepas dan mangsa mengaku tiada suspek yang memasukkan cecair ke dalam mulutnya sebaliknya dia menjumpai cecair itu dalam botol di tandas dan meminumnya sedikit.

"Pelajar itu memberitahu racun itu tersimpan di dalam botol di atas sinki di hadapan tandas sekolah, yang botolnya dibuang ke dalam longkang selepas meminumnya," katanya.

Mohd Ali berkata pelajar itu membuat pengakuan kepada bapa saudaranya bahawa dia telah meminum sendiri racun itu, namun enggan memaklumkan kepada keluarganya mengenai kejadian sebenar kerana bimbang akan dimarahi.

"Perkara sebenar hanya diketahui oleh bapa mangsa, bapa saudara dan ibu saudara mangsa, namun kesemuanya enggan memberitahu ibu mangsa mengenai perkara sebenar disebabkan bimbang ibu mangsa tidak boleh menerima kenyataan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga dimaklumkan oleh mangsa bahawa dia tiada sebarang masalah mengenai percintaan, perhubungan kekeluargaan atau permusuhan serta permasalahan dengan sesiapa di sekolah.

"Ibu bapa mangsa tidak bercerai tetapi tidak duduk bersama," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri.

-- BERNAMA