MELAKA: Seorang pekerja warga Bangladesh maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja pemotongan rumput di Taman Perkota, Bukit Baru di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata Habib Ullah, 39, disahkan maut di tempat kejadian selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu.

Beliau berkata menurut saksi, semasa kejadian lelaki itu bersama lima rakannya sedang memesin rumput di kawasan berhampiran bahu jalan, dan terdapat tiang elektrik berhampiran kawasan itu.

"Lelaki itu dipercayai cuba mengalihkan kabel elektrik daripada tanah yang mengganggu kerja-kerja pemotongan rumput dan semasa memegang kabel tersebut, badannya mengalami renjatan elektrik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata saksi bersama rakan yang lain kemudiannya cuba membantu menjauhkan mangsa daripada wayar elektrik tersebut dengan menggunakan kayu.

"Pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk siasatan lanjut. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

-- BERNAMA