SEBERANG PERAI: Seorang pekerja kontraktor maut selepas terjatuh dari ketinggian 5.2 meter ketika sedang memasang anak tangga di sebuah kilang pembuatan di Perai, 25 Julai lalu.

Pekerja warga asing berusia 21 tahun itu dikatakan tergelincir sebelum terjatuh sewaktu melakukan kerja-kerja pemasangan anak tangga di kilang tersebut pada jam 2.15 petang.

Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (JKKPPP), sepasukan pegawai penyiasat diarah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan selepas menerima maklumat berhubung kes tersebut.

Siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa adalah pekerja kontraktor yang dilantik oleh kilang tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan tangga bagi kawasan naik taraf bangunan di premis itu.

"Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan naik ke platform setinggi 5.2 meter menggunakan skylift untuk mengetat skru di platform tersebut.

"Mangsa disyaki tergelincir ketika menjalankan kerja, lalu terjatuh ke lantai. Mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan dan dilaporkan meninggal dunia di hospital pada 27 Julai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan insiden berkenaan, pihak JKKPPP mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian sehingga siasatan selesai.

Selain itu, pihak jabatan juga mengarah majikan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepadanya.

Pihak JKKPPP akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan saksi, serta mengadakan lawatan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

Jelasnya, menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja.