Seorang pegawai perangkaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melindungi individu yang melakukan perbuatan keganasan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Poziah Harun, 42, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Dia didakwa telah melindungi individu bernama Zulkarnain Ghaz Abd Ghani, sedangkan dia mempunyai pengetahuan bahawa Zulkarnain telah melakukan perbuatan keganasan.

Poziah didakwa melakukan kesalahan itu di Poliklinik Azhar & Rakan-Rakan di Jalan Masjid, Taman Pekan Baru di sini pada awal September hingga Disember 2014 mengikut Seksyen 130K(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Hakim Norsalha menetapkan 18 Okt depan sebagai tarih sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya Nuraswan Aminudin.