Bermula minggu hadapan, pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pintu masuk negara akan dilengkapi senjata api sebagai langkah keselamatan mengelakkan sebarang ancaman melibatkan isu penyeludupan.

Ketua Pengarah Kastam Datuk T. Subromaniam berkata, ia usaha jabatan itu untuk memastikan ketirisan hasil yang selama ini memberi kesan negatif kepada negara dapat dikurangkan.

"Sekarang ini cara kita bekerja adalah pegawai penguatkuasaan akan menunggu maklumat jika ada pegawai di barisan hadapan yang mengetahui sebarang maklumat berkenaan penyeludupan melibatkan import dan eksport.

"Jika ada mana-mana kes yang disyaki atau barangan meragukan baru pegawai ini akan menghubungi pegawai Kastam di pejabat.

"Bila dapat maklumat, ia sudah terlewat, ada kejadian pegawai yang kena rempuh di pintu masuk negara, itu antara pembaharuan yang kita akan buat," katanya semasa sidang media pertamanya sebagai Ketua Pengarah Kastam di sini hari ini.


Subromaniam dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam baharu berkuat kuasa 24 Mac lepas menggantikan Datuk Seri Khazali Ahmad yang bersara.

Subromaniam, 58, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pematuhan/ Penguatkuasaan) telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 33 tahun dengan mula menyertai perkhidmatan Penguasa Kastam pada 29 Julai 1984.

Subromaniam juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Kastam Siasatan (Bahagian Penguatkuasaan) dan Ketua Penolong Pengarah Kastam Cawangan Siasatan.

BACA: Kastam sasar kutipan GST RM42 bilion tahun ini

BACA: Jabatan Kastam akan dikorporatkan tidak lama lagi - PM Najib

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilaporkan akan melakukan semakan semula berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) penggunaan senjata api oleh semua agensi di bawah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) di seluruh negara dalam masa terdekat.

Katanya, SOP sedia ada kebanyakan agensi terutamanya untuk Jabatan Kastam masih lagi kabur berhubung undang-undang penggunaan senjata api dalam kalangan anggota penguat kuasa.

Dalam pada itu kata Sobramaniam, fokus utamanya sejak menerajui JKDM adalah untuk menangani ketirisan di samping meningkatkan kecekapan dan keberkesanan jabatan itu.

Ia termasuk pengukuhan integriti, memperkasakan kawalan sempadan, mengurangkan penyeludupan rokok, penggabungan fungsi cawangan audit, bahagian pematuhan dan pendekatan baharu GST.