PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan denda RM1,500 seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana memberi maklumat palsu berkaitan identitinya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa serbuan khalwat pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Fikri Ab Rahim.

Mereka mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Fikri, 49, daripada pertuduhan itu.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Ahmad Zaidi berkata memang tidak dapat dipertikai Fikri telah memberi maklumat palsu kepada seorang pegawai JAIS di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pembelaan telah berhujah bahawa Fikri tidak mempunyai niat jahat di sebalik tindakan itu kerana terpaksa melindungi identitinya sebagaimana arahan Ketua Pesuruhjaya agensi antirasuah itu mengikut Seksyen 6(4) Akta SPRM.

Justeru itu, katanya mahkamah mendapati Fikri telah berjaya menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan sekali gus menjadikan sabitan terhadapnya tidak selamat untuk dikekalkan.

Ahmad Zaidi berkata oleh itu, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskan Fikri daripada pertuduhan.

"Kami benarkan rayuan ini. Sabitan dan denda yang dikenakan terhadap perayu oleh Mahkamah Tinggi diketepikan. Perayu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya yang turut memerintahkan denda RM1,500 yang telah dibayar dipulangkan kepada Fikri, yang kini pegawai kanan Jabatan Siasatan Tadbir Urus di SPRM.

Sebelum itu, beliau bertugas sebagai Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM.

Fikri didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu kepada pegawai JAIS iaitu Fatin Afikah Muhamad Mustapa dan Mariah Mukhyuddin di pejabat JAIS di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Selangor pada 16 Dis 2017.

Beliau telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memberi maklumat palsu kepada Mariah tanpa dipanggil membela diri dan pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi namun permohonan untuk lanjutan masa ditolak.

Bagi satu lagi pertuduhan, Fikri dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 17 Feb 2022. Bagaimanapun, pada 15 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan serta mensabitkan beliau dan menjatuhi hukuman RM1,500.

Fakta kes mendedahkan bahawa sekumpulan pegawai JAIS telah menyerbut sebuah kondominium pada 2.40 pagi 16 Dis 2017 dan mendapati Fikri berada bersama seorang wanita yang juga pegawai SPRM di premis itu.

Pada prosiding hari ini, peguam Tiara Katrina Fuad berkata Fikri telah diberikan kad pengenalan khas untuk operasi penyamaran itu.

Beliau berkata Fikri dan wanita itu terlibat dalam satu operasi bagi memantau kegiatan rasuah dalam kalangan agensi kerajaan tertentu.

Tiara Katrina juga memaklumkan mahkamah bahawa Fikri telah dibebaskan daripada pertuduhan khalwat pada November 2023.

Peguam itu berkata Fikri telah memberikan identiti penyamarannya kerana percaya beliau dilarang mendedahkan bahawa dia adalah pegawai SPRM susulan arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika itu, yang perlu dipatuhi.

Tiara Katrina berkata bagaimanapun pada hari yang sama, selepas mendapat kebenaran daripada pihak atasan, Fikri kembali ke pejabat JAIS dan mendedahkan identiti sebenarnya.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir pula berhujah bahawa Fikri boleh mendedahkan identiti sebenarnya kerana beliau tidak bertugas ketika itu.

Beliau berkata Fikri telah memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Zaki Asyraf dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Aida Khairuleen Azli manakala peguam Datuk Selvam Mookiah turut mewakili Fikri.

-- BERNAMA