KANGAR: Seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,000 pada 2019.

Tertuduh K. Poobalan, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, Poobalan didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM6,000 daripada seorang lelaki melalui akaun Maybank milik tertuduh.

Poobalan didakwa mengetahui abang kepada lelaki terbabit mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi yang melibatkan penyiasatan satu kes jenayah dan dia dituduh berbuat demikian di Maybank Cawangan Padang Besar pada 24 April 2019.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang berjumlah RM6,000 daripada individu sama melalui akaun Maybank tertuduh di lokasi sama pada 15 Mei 2019.

Poobalan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu lelaki terbabit perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat sebulan sekali dan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili dua peguam.

-- BERNAMA