KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Muar, Johor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan perkara itu, berkata perincian lanjut mengenai penahanan mereka akan dibuat oleh Ketua Polis Johor.

"Saya sahkan penahanan mereka namun perincian penuh boleh dapatkan daripada Ketua Polis Negeri Johor (Datuk Kamarul Zaman Mamat)," katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, dalam satu kenyataan berasingan, mengesahkan penahanan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah polis, semalam.

Dalam kenyataan ringkas itu, beliau berkata siasatan selari di antara (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) JIPS bersama SPRM sedang dijalankan.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi berkata JIPS akan membuka kertas siasatan selari seperti biasa berhubung tangkapan oleh SPRM itu.

-- BERNAMA