TAIPING: Seorang pegawai Imigresen dan tiga lelaki, termasuk seorang warga Thailand, didakwa di Mahkamah Tinggi Taiping atas pertuduhan menyeludup enam wanita Vietnam pada 9 Mac 2024.


Ringkasan AI
  • Seorang pegawai Imigresen dan tiga lelaki, termasuk seorang warga Thailand, didakwa di Mahkamah Tinggi Taiping atas pertuduhan menyeludup enam wanita Vietnam pada 9 Mac 2024. Mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md. Nurdin.
  • Kesemua tertuduh, Abdul Hadi Mat Din, Teoh Boon Poh, Chua Eng Keong, dan Shukree Awang, didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen, dengan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin dan para peguam mewakili tertuduh masing-masing.


Kesemua tertuduh, Abdul Hadi Mat Din, 42; Teoh Boon Poh, 58; Chua Eng Keong, 47 dan warga Thailand, Shukree Awang, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Taiping, Noor Ruwena Md. Nurdin.

Pertuduhan terhadap Sukree dibacakan dalam bahasa Thai manakala pertuduhan terhadap Boon Poh dan Eng Keong pula dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bagi mencapai niat bersama telah menjalankan penyeludupan migran melibatkan enam wanita Vietnam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta berbayar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu, kira-kira jam 11.26 pagi pada 9 Mac 2024.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala peguam T. Harpal Singh mewakili Mohd Hadi dan Boon Poh, peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah mewakili Shukree Awang dan peguam Mohamad Hafiz Jalaludin mewakili Eng Keong.