KOTA KINABALU:Pemergian Ketua Cawangan Operasi Kebombaan Ibu Pejabat Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Sabah Alias Abu, yang meninggal dunia pagi tadi selepas didapati positif COVID-19, merupakan satu kehilangan besar, kata Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Menurutnya, Allahyarham Alias, 56, yang difahamkan mempunyai masalah jantung dan asma dan merupakan antara 15 anggota bomba Sabah yang disahkan positif virus itu selepas menjalani ujian saringan pada 16 Oktober lepas, menghembuskan nafas terakhir pada 9.15 pagi.

"Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala Papar petang ini. Allahyarham adalah anggota bomba Sabah yang pertama terkorban akibat COVID-19. Ini adalah satu kehilangan besar buat JBPM Sabah.

"Allahyarham adalah seorang pegawai yang sangat berdedikasi, bertanggungjawab serta mempunyai disiplin tinggi dalam menjalankan tugas, selain sangat penyabar serta tidak berkira dengan kerja.

"Kami merasa amat kehilangan kerana Allahyarham seorang yang ramah, sangat tenang dan tidak mudah panik apabila ada kecemasan. Lebih-lebih lagi Allahyarham bertugas di bahagian operasi yang merupakan 'jantung' atau tugas utama bomba," katanya.

Sepanjang tempoh Sabah bertarung melawan penularan pandemik COVID-19, Kamarulzaman berkata, Allahyarham adalah antara pegawai yang menjadi harapan JBPM Sabah, untuk menguruskan pelaksanaan kerja-kerja operasi di seluruh negeri memandangkan agensi itu menjadi sebahagian daripada petugas barisan hadapan.

Kamarulzaman mewakili pihak JBPM Sabah mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka agar terus tabah mengharungi ujian ini.

Sementara itu Kamarulzaman berkata, seramai 400 pegawai dan anggota bomba di Sabah telah menjalani ujian saringan COVID-19 mulai 13 hingga 23 Oktober lalu.

Anggota bomba lain yang telah disahkan positif COVID-19, masih menjalani rawatan di pusat kuarantin disediakan, selain ada yang sudah sembuh.

-- BERNAMA