Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri Sabah untuk menghentikan sistem 'barter' atau pertukaran barang antara penduduk di pesisir pantai timur negeri itu dengan penduduk selatan Filipina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia bertujuan mengekang aktiviti jenayah terutama berkaitan penculikan.

"Polis ingin mencadangkan agar aktiviti 'barter trading' sama ada secara sah atau tidak sah dihentikan kerana ada pihak yang mengambil kesempatan (melakukan jenayah) ketika sedang bertukar barangan.

"Kita berharap agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga memandang serius perkara ini kerana kita tidak boleh biarkan rakyat kita terus terancam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'community policing' di Kampung Rambai Lama di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dan Anggota Dewan Undangan Negeri Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha.

Khalid mengulas kejadian penculikan di Sandakan, Sabah pada Khamis lepas apabila kumpulan bersenjata menculik dua rakyat Malaysia dari sebuah restoran makanan laut.

Beliau berkata PDRM juga akan mengesyorkan kepada kerajaan untuk membeli aset berteknologi tinggi bagi memantau perairan pantai timur Sabah sepanjang kira-kira 1,700 kilometer.

"Perairan pantai timur Sabah adalah luas. Takkan kita nak letak bot di setiap 100 meter lokasi untuk kawal keselamatan. Justeru penggunaan asset berteknologi tinggi adalah penting pada masa kini," katanya.

Mengenai aktiviti pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand, beliau berkata beliau telah mengarahkan kira-kira 300 anggota VAT69 bagi menggeledah hutan tebal di situ.

Khalid berkata penggeledahan perlu dilakukan selepas polis Thailand menemui dua kem yang dipercayai dijadikan markas operasi sindiket pemerdagangan awal bulan ini.

"Kita akan kemukakan hasil penemuan penggeledahan itu pada hujung minggu ini selepas menerima laporan daripada VAT69," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PDRM dan polis Thailand juga sentiasa menjalinkan hubungan rapat terutama dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Hasil lawatan saya ke Phuket, Thailand baru-baru ini, kita bersetuju untuk mengesan penjenayah yang dikehendaki oleh kedua-dua pihak yang mungkin menyusup masuk ke Malaysia atau Thailand," katanya.