KUALA LUMPUR: Polis menahan 27 influencer atau pempengaruh kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket perjudian untuk mempromosikan kegiatan judi dalam talian di media sosial mereka, pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Polis menahan 27 influencer yang didakwa bekerjasama dengan sindiket perjudian untuk mempromosikan judi dalam talian di media sosial.
  • Mereka ditahan dalam serbuan di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, dan Johor, dengan pilihan modus operandi sindiket memilih influencer dengan pengikut tinggi.
  • Influencer itu dibayar antara RM1,500 hingga RM8,000 sebulan untuk promosi judi dalam talian, dan polis menyita telefon bimbit mereka serta menyiasat kes di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Mereka yang berusia antara 21 hingga 35 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, modus operandi sindiket itu adalah memilih pempengaruh yang mempunyai jumlah pengikut yang tinggi.

27 influencer promosi judi dalam talian ditahan polis

"Setiap pempengaruh dibayar antara RM1,500 hingga RM8,000 bagi hantaran yang dikongsi di setiap platform secara bulanan dan bergantung kepada jumlah pengikut mereka di media sosial.

"Siasatan mendapati setiap pempengaruh digaji sindiket ini aktif sekurang-kurangnya di dua platform media sosial," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, pada Jumaat.

Mohd Shuhaily menambah, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas 30 telefon bimbit milik semua suspek untuk siasatan lanjut.

Katanya, pempengaruh digaji sindiket itu turut menjalankan perniagaan menjual pelbagai produk termasuk produk kecantikan dan pada masa sama mempromosi laman kegiatan judi dalam talian itu.

"Semua pempengaruh dipercayai digaji beberapa sindiket judi berlainan sejak lebih setahun lalu," katanya.

Ujarnya, polis yakin siasatan lanjut ke atas mereka yang ditahan itu akan dapat mendedahkan lebih banyak maklumat termasuk dalang di sebalik sidniket-sindiket itu yang dipercayai aktif lebih setahun.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.