KUALA LUMPUR: Pelbagai langkah kini giat diambil bagi menangani masalah capaian internet yang dihadapi penduduk di Pekan Tenom, Sabah.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, sebuah menara komunikasi sedang dalam proses pembinaan di Kampung Bamban dan dijangka siap pada bulan April 2022.

"Sebuah lagi menara komunikasi baharu akan dibina berdekatan dengan Kampung Batu 14 di bawah inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan pembinaan akan bermula pada awal tahun 2022.

"Pembinaan kedua-dua menara komunikasi tersebut dijangka dapat mempertingkatkan liputan capaian internet di kawasan yang dimaksudkan selain membolehkan para penduduk menjalankan aktiviti seharian mereka dengan lancar," katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan beberapa guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Pekan Tenom, Sabah terpaksa memandu sejauh 40 kilometer ke kawasan kampung anak muridnya di Kampung Bamban dan Kampung Batu 14.

Situasi itu bagi membolehkan penghantaran bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan masalah capaian Internet lemah.