KUALA LUMPUR:Para guru sudah bersiap sedia lebih awal dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri berkuat kuasa pada Rabu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock berkata, cara mengajar secara dalam talian dengan bersemuka di sekolah sebenarnya tidak banyak berbeza.

"Ramai anggap apabila guru mengajar secara online, cara mengajar mereka jauh berbeza daripada di sekolah, tetapi tidak, mereka masih menggunakan instrumen yang sama contohnya mengadakan pentaksiran, mengadakan kuiz-kuiz supaya untuk melihat tahap pencapaian formatif anak didik mereka dari semasa ke semasa.

"Jadi apabila berlakunya situasi begini, guru itu akan mengambil langkah secara peribadi untuk mendidik anak murid mereka.

"Pada masa sama, kalau berlakunya peperiksaan contohnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya rasa cikgu telah bersiap sedia, memberikan lebih banyak latihan dan sebab pada masa itu ada PKPP, mereka masih lagi ke sekolah," katanya semasa sidang Skype pada Selasa.

BACA: Kawasan PKP: Murid sekolah rendah hingga Tingkatan 4 boleh ikuti PdPR

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Agong perkenan darurat hingga 1 Ogos


Sebelum ini, Menteri Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Radzi Jidin, berkata, semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 20 Januari ini.

Menurutnya, ketetapan itu turut terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di kolej Vokasional.

Dalam pada itu kata Harry Tan, semua kaedah itu sudah diperhalusi dan diperbaiki guru berkenaan walaupun masa bersemuka bersama murid di sekolah tidak panjang.

Radzi sebelum ini turut, berkata semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini.

Tambahnya, guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020/2021 di kawasan PKP, perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP).