Pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini adalah antara punca berlakunya penularan penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata PATI tidak menjalani saringan kesihatan dan mereka yang menghidap penyakit itu kemudiannya menyebarkan kepada penduduk setempat.

"Memang kita (kementerian) kawal tetapi kes tibi masih lagi tinggi kerana PATI masuk ke negara tanpa menjalani saringan kesihatan," katanya pada perasmian Persidangan Kebangsaan TB dan Penyakit Paru-paru 2016 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata pekerja asing yang datang secara sah ke negara ini perlu menjalani saringan kesihatan di negara asal terlebih dahulu sebelum menjalani saringan sekali lagi di Malaysia.

Justeru, beliau meminta semua pihak termasuk majikan bersama menangani penyakit tibi dengan tidak menggaji PATI yang tidak diketahui status kesihatan mereka.

Dr Hilmi berkata sebanyak 24,220 kes tibi dilaporkan pada 2015 dengan jumlah kematian akibat seramai 1,696 orang.