Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah berkata penubuhan pasukan khas itu diputuskan hasil perbincangan Bengkel Taskforce Pemulihan Anak-Anak GISB di Selangor yang bermesyuarat pada 17 dan 18 Okt lepas.
Beliau berkata rumusan awal berhubung saringan dan pemeriksaan itu akan dibentangkan oleh pasukan khas berkenaan kepadanya pada pertengahan November ini.
"Ini supaya silibus pemulihan yang sedia ada dapat disesuaikan mengikut tahap pemulihan yang diperlukan oleh anak-anak ini mengikut umur mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohammad Fahmi berkata kerajaan Selangor juga akan berhubung dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk bekerjasama dalam pengurusan anak-anak GISB dari Selangor yang ditempatkan di rumah perlindungan di sana.
Beliau juga menyatakan kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dan bantuan daripada pelbagai pihak baik dari segi tenaga pakar dan kewangan untuk sama-sama memulihkan anak-anak terkait GISB itu.
Mohammad Fahmi yakin kanak-kanak berkenaan berpotensi untuk menjadi aset negeri Selangor yang baik sekiranya diberikan didikan dan penjagaan yang sewajarnya.
Pada 8 Okt lepas, Mohammad Fahmi mengumumkan kerajaan Selangor menubuhkan sebuah pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISB di negeri itu sebelum ini.
Pasukan khas dipengerusikan bersama oleh Mohammad Fahmi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMS), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan MBI, Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) serta beberapa agensi swasta dan badan bukan kerajaan.
Pada awal September lepas, polis melancarkan Op Global dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISB kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Hasil serbuan, seramai 572 individu termasuk kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan selain 539 pengikut GISB turut ditahan, termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu.
-- BERNAMA