Tempoh enam bulan bagi proses permohonan dan pembaharuan pasport yang ditetapkan Jabatan Imigresen adalah disebabkan kekurangan bekalan pasport oleh pihak pembekal.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menjelaskan ketetapan itu dibuat kerana Pasport Antarabangsa Malaysia kini dalam proses peralihan kepada pasport versi baharu.

"Pihak Kerajaan dan Imigresen sentiasa melaksanakan usaha yang terbaik dalam memperkasakan perkhidmatan awam, selama ini rekod pengeluaran pasport Malaysia antarabangsa adalah yang terbaik berbanding negara-negara lain.

"Tempoh penyerahan pasport selama satu jam selepas membuat bayaran merupakan pertama kali diperkenalkan di dunia, negara-negara maju mengambil masa antara dua minggu hingga tiga bulan untuk mendapatkan pasport," jelasnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun kesulitan yang dihadapi pelanggan akhir-akhir ini disifatkan masalah kecil dan pihaknya akan memastikan bekalan pasport tidak terganggu biarpun sedang dalam proses transisi.

Pada 29 Julai lalu, terdapat laporan mengenai kelewatan dalam proses permohonan dan pembaharuan pasport yang mencetuskan situasi panik dalam kalangan orang ramai.

Susulan laporan tersebut, pejabat imigresen di seluruh negara sesak dibanjiri orang ramai bagi memohon dan memperbaharui pasport.

Justeru, Datuk Seri Mustafar menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan dengan bijak dan tidak membuat urusan pasport di pejabat imigresen di saat-saat akhir untuk mengelakkan kemungkinan berlaku sebarang masalah.