PETALING JAYA: Tidak sampai 24 jam selepas disahkan menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin sudah mula turun padang menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Ketika ditemui Astro AWANI pada petang Ahad, calon daripada Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan beliau mahu mengotakan janjinya kepada para pengundi untuk terus bekerja selepas diberikan mandat.

Bagi bekas pegawai perubatan itu, ini bukan tempoh 'bulan madu' sebaliknya masa untuk berkhidmat kepada rakyat walaupun sebagai pembangkang di Selangor.

"PN, Alhamdulillah menang 22 kerusi iaitu kurang tujuh kerusi untuk membentuk Kerajaan Negeri. Tetapi itu tak bermakna kita patah semangat.

"Ini baru permulaan untuk PN kerana kita tahu gelombang sokongan rakyat itu ada kepada PN dan mereka meletakkan harapan yang besar kepada wakil rakyat PN yang dipilih.

"Jadi saya tahu di Taman Medan majoritinya 30 undi tetapi kita menghormati suara rakyat. Pesta demokrasi sudah berakhir, ini adalah masa untuk kita berkhidmat dan juga memberikan harapan baharu kepada rakyat Selangor serta menjadi suara kepada mereka semua dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya di sini.

Dr Afif menang di kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 30 undi selepas memperoleh 22,316 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Akhir Pawan Chik dengan 22,286 undi.

Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang itu sebelum ini tewas di Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Majoriti 30 undi tak boleh diragui

Mengulas mengenai majoriti tipis dimenanginya, Setiausaha PN Selangor itu berkata peratusan keluar mengundi pada PRN kali ini adalah lebih rendah berbanding PRU lalu, dan beliau yakin jika peratusan lebih tinggi, PN mampu menawan banyak lagi kerusi di Selangor.

Meskipun hanya majoriti 30 undi, Dr Afif menambah kemenangannya tidak boleh diragui kerana ia telah disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses pengiraan undi berjalan dengan lancar.

"30 undi, saya tidak boleh kata gelombang tetapi Taman Medan ini menjadi antara satu titik biru dalam kalangan lautan merah di Negeri Selangor ini.

"Taman Medan insya-Allah akan menjadi pemangkin untuk usaha PN dalam PRU akan datang, kembali menawarkan diri menjadi Kerajaan Selangor. insya-Allah kita akan memberikan bukan hanya khidmat tetapi menjadi suara kepada orang Selangor," tambah beliau.

.

Bersama selesaikan masalah rakyat

Dr Afif berkata isu pembangunan bandar, infrastruktur, penyelenggaraan sampah serta kesihatan awam antara fokus yang perlu diberi perhatian dan ia menjadi cabaran di Taman Medan kerana kepadatan penduduk.

Justeru, beliau berpandangan Kerajaan Selangor yang dibentuk kelak harus bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang dalam mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu-isu di negeri itu.

"Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada siapa juga yang bakal menjadi Menteri Besar yang baharu daripada PH, kalau ada. Kalau tak ada (Menteri Besar), boleh serah kepada kami tetapi kena bincang," katanya seloroh.

"Jadi saya mengharapkan Menteri Besar yang baharu ini kena faham, ada 22 wakil (daripada PN) yang dipilih oleh rakyat dan sebahagian besar ditempat tempat lain juga, PN mendapat undi yang besar.

"Ini bermakna beliau (Menteri Besar) harus sedar bahawa perlu ada kerjasama dengan pihak pembangkang terutama supaya khidmat kepada rakyat itu tidak lagi dilihat atas dasar kepentingan politik semata-mata tetapi lebih jujur dan ikhlas," tambah Dr Afif.

Tempoh 100 hari

Dalam pada itu, Dr Afif mengambil pendekatan awal dengan berkongsi nombor telefon bagi memudahkan penduduk di Taman Medan berhubung dengannya dan menyalurkan maklumat serta permasalahan di kawasan berkenaan.

Ujarnya, langkah tersebut bagi membolehkan beliau mendapatkan maklum balas dalam tempoh sebulan pertama sebelum merangka strategi untuk mengatasi perkara yang dibangkitkan rakyat.

"Saya berharap menjelang 100 hari itu saya dah mula dapat melihat keputusan daripada tindakan-tindakan yang saya lakukan.

"Pastinya matlamat saya, saya berharap dapat bekerjasama erat bukan hanya dengan penduduk tetapi lebih penting pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Kerajaan Selangor yang bakal dibentuk nanti," katanya.

Penduduk di Taman Medan boleh menyalurkan maklumat kepada Dr Afif melalui nombor telefon 012-440 3265.