Pasaraya Giant dalam satu kenyataan rasmi menafikan sebarang perkaitan dengan syarikat PCK Processing & Marketing sekaligus menafikan pesanan yang tersebar meluas di laman sosial.

Rangkaian pasaraya tempatan yang dimiliki GCH Retail Malaysia Sdn Bhd itu menegaskan tidak membuat sebarang urusan secara langsung atau tidak langsung dengan pembekal berkenaan.

Ia termasuklah memesan, memasar, membekal serta menjual segala produk-produk dari syarikat yang beroperasi dari Seri Manjung, Perak ini di mana-mana pasaraya Giant di seluruh Malaysia.

Pasaraya Giant tiada kaitan dengan PCK Processing
Kenyataan rasmi Pasaraya Giant, diperoleh dari laman rasminya

Kenyataan tersebut turut memaklumkan para pelanggannya bahawa Giant hanya berurusan dengan pembekal-pembekal ayam segar yang diproses secara halal serta mempunyai sijil halal diiktiraf, disah dan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada 1 Jun lalu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) mengeluarkan satu kenyataan mengenai penarikan balik Pensijilan Halal Malaysia bagi syarikat PCK Processing & Marketing.

Kenyataan tersebut tersebar meluas menerusi aplikasi WhatsApp sehingga ada pengguna yang mengaitkan pembekal itu dengan pasaraya Giant.