Pas mengecam pembunuhan imam Palestin, Dr Fadi Albatsh yang ditembak ketika dalam perjalanan ke surau berhampiran kediamannya, hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, negara sepatutnya memberi perlindungan dan keselamatan kepada warga Palestin di sini.

Katanya, kejadian ini juga menunjukkan ada asas kemungkinan agensi perisik Israel, Mossad dan Zionis sedang berkeliaran dan menembusi sempadan negara dan mengganggu ketenteraman rakyat negara ini.

BACA: Suspek benar-benar ada motif untuk bunuh imam Palestin


“Apatah lagi sekiranya dilihat pada sejarah lalu, telah menjadi amalan Mossad untuk melakukan pembunuhan terhadap pimpinan umat Islam di seluruh pelosok dunia termasuk di negara barat.

“Sebelumnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Tunisia dan Beirut. Kita percaya apa yang berlaku ini ada kaitan dan dalang di sebaliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Hadi turut menggesa kerajaan melakukan siasatan terhadap pembunuhan tersebut dan mengingatkan berhati-hati dengan Israel yang mengamalkan keganasan dan dilindungi oleh kuasa-kuasa besar.

“Kerajaan mesti berani dan jangan takut dengan sebarang tekanan,” katanya.