KUALA LUMPUR: Komen berunsur perkauman oleh pengguna media sosial terhadap pemain badminton perseorangan negara, S Kisona disifatkan sebagai tidak boleh diterima.

Justeru, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada menyentuh isu perkauman atau agama yang boleh membangkitkan api kemarahan.

"Pada saya, komen berunsur perkauman ke atas pemain badminton perseorangan negara ini baru-baru ini dan tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia dalam pelbagai bangsa dan agama.

"Sukan telah lama menjadi tapak integrasi perpaduan yang menyatukan kita semua tak kira apa bangsa, kaum dan agama.

"Jadi, nasihat saya kepada semua pihak yang di luar sana, terutamanya pengguna media sosial ini, supaya mengelak atau jangan bangkitkan api kemarahan atau api perkauman.

"Elak menggunakan kata-kata yang boleh menghiris hati dan juga perasaan kaum lain demi menjaga perpaduan dan juga keharmonian keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Halimah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang menegaskan tuduhan dilemparkan kepada pemain negara itu tidak menggambarkan konsep Keluarga Malaysia.

Terdahulu, kenyataan rasis itu dimuat naik dipercayai berikutan kekalahan 7-21,5-21 Kisona kepada pemain ranking kelima dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi pada aksi separuh akhir Piala Sudirman di Vantaa, Finland pada awal pagi Ahad.

BACA: Piala Sudirman: 'Ada juga yang bangang' - Faizal Azumu kecam komen berunsur perkauman

BACA: Komen perkauman suatu yang keterlaluan - BAM