Seluruh anggota parlimen beragama Islam diminta menyedekahkan Al-Fatihah buat mangsa manakala wakil rakyat bukan Islam bertafakur sebagai tanda memperingati mangsa nahas berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said menyatakan pemergian Jamaluddin adalah kehilangan besar kepada negara kerana peranannya menyumbang tenaga membangun negara termasuk membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta anggota-anggota Parlimen membaca Al-Fatihah dan bertafakur selama seminit bagi memperingati pemergian Anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan lima lagi mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih Sabtu lepas - Foto Bernama
"Bagi pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan pihak parlimen kami mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham, Puan Sri Dr Kalsom Ismail dan seluruh keluarga Allahyarham, " katanya yang seterusnya menyenaraikan jawatan-jawatan yang pernah dipegang Allahyarham sepanjang khidmatnya dengan kerajaan, termasuk sebagai Duta Khas ke Washington.
GALERI FOTO: Di lokasi nahas helikopter awam terhempas di Semenyih
Ismail turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin berwibawa, mengambil berat kebajikan rakyat sepanjang menjadi wakil rakyat selama enam penggal.
Semalam, jenazah Jamaluddin disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara selepas solat Asar.
Anggota-anggota Parlimen kelihatan sugul melihat meja Anggota Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis di Dewan Rakyat di sini, hari ini. - Foto Bernama
Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia dan Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bersama empat orang lagi terkorban apabila helikopter Dauphin AS365N2 yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur, terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang pada Sabtu.
Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.