KUALA LUMPUR: Pembukaan Parlimen hanya akan dilaksana sekiranya proses imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan tercapai.

Namun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan ketika ini menghadapi cabaran apabila ada sesetengah pihak yang dipercayai menjalankan kempen anti-vaksin sekali gus melambatkan sasaran untuk dicapai. 

"Ada setengah kumpulan, ahli politik kata Parlimen mesti dibuka, saya hendak bagi contoh, kalau Parlimen dibuka, katalah sebulan, selalunya hari Isnin sampai Khamis (empat hari berturut-turut berapa orang ada. Ada Ahli Parlimen, pegawai, pegawai kerajaan, pegawai dan kakitangan Parlimen, kafeteria, pemandu dan lain-lain.

"Melebihi 1,000, saya hendak tunjukkan, kebanyakan ini menjadi hotspot, kalau ini kita kawal, tidak adalah kluster (Parlimen) itu," katanya semasa sidang media selepas lawatan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di salah sebuah kompleks beli-belah pada Jumaat.

[
[TERKINI] Sidang media pemantauan pematuhan PKP penuh

BACA: Isu rakyat tidak dapat dibincangkan bila Parlimen ditutup - Wan Azizah

BACA: 
Kerajaan akan tambah Pusat Penerimaan Vaksin berskala mega - Khairy

Terdahulu, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penutupan Parlimen sejak sesi berakhir 15 Disember tahun lepas mengakibatkan isu rakyat tidak dapat dibahaskan dengan tuntas.

Jelasnya, ia termasuk isu kesenjangan ekonomi, kesihatan mental rakyat, keganasan rumahtangga dan pendidikan.

Sementara itu, kata Hamzah, jumlah sekatan jalan raya (SJR) di Kuala Lumpur dan Selangor akan ditambah kepada 1,000 hari ini.

Ia usaha memastikan kedudukan negara terutama penurunan keluk kes jangkitan dapat dilandaikan segera.

Dalam pada itu kata Hamzah, penganjuran Kongres PKR secara maya membuktikan parti itu sendiri tidak mempunyai keberanian untuk membuat sebarang perjumpaan bersemuka seperti di Parlimen.

Bagaimanapun, jelas beliau, pembukaan Parlimen secara secara maya tidak dinafikan dapat diadakan namun perlu dilakukan kajian selanjutnya.

"Saya tengok dalam surat khabar, PKR dengan bangga hendak buat kongres secara maya, jadi maknanya apa?

"Dia (PKR) pun tidak berani buat perjumpaan seperti gesaan buka Parlimen, jadi kalau tidak berani hendak buka, dia buat secara maya, jadi kalau kita hendak buka Parlimen secara maya, banyak pula masalah lain.

"Bagaimana hendak buat secara maya? Ramai, pegawai kerajaan, beribu lagi, ini yang akan kita fikirkan, kalau boleh apa salahnya tetapi ia mengambil satu perkiraan untuk apa yang dibuat mesti ada kajian yang betul. Jangan ikut perasaan," tegas Hamzah lagi.