IPOH: Pengunjung sebuah pasar raya di Gugusan Manjoi di sini gempar seketika apabila papan tanda di tingkat satu bangunan itu terbakar pada Sabtu.

Kejadian itu tular di media sosial apabila api marak membakar struktur di dinding bangunan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Shahrudi Muhamad Halil berkata, sepasukan enam anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.16 petang.

"Setibanya di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah papan tanda dan pemadaman dilakukan oleh Pasukan Respons Kecemasan (ERT) pasar raya terbabit dengan menggunakan kekili hos bangunan.

"Bomba kemudiannya bertindak melakukan pemantauan. Punca kebakaran dalam tindakan Bahagian Siasatan Forensik Bomba Perak," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan operasi tamat pada jam 8.05 malam.

Sementara itu, pihak Pengurusan Mydin Manjoi dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya kini kembali beroperasi seperti biasa setelah mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

"Mydin Manjoi telah mengalami insiden kebakaran kecil di papan tanda luar bangunan.


Artikel asal di Sinar Harian