IPOH: Pengunjung Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini cemas apabila berlaku kebakaran pada bahagian papan tanda pasar raya berkenaan.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 8.45 malam ketika pengunjung sedang membeli-belah di dalam pasar raya berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 8.32 malam.


Keadaan semasa Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya selepas bomba berjaya mengawal kebakaran yang memusnahkan 10 peratus papan tanda pasar raya tersebut kira-kira 8.30 malam tadi. --fotoBERNAMA

Sejurus itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dan BBP Ipoh dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

"Ketika tiba di lokasi, bomba mendapati kebakaran melibatkan papan tanda Mydin di luar bangunan yang sedang terbakar 10 peratus.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kebakaran berjaya dikawal," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sabarodzi berkata, seramai 13 anggota bersama tiga jentera terlibat dalam kerja-kerja pemadaman tersebut. 


Orang ramai berkumpul di luar bangunan Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini selepas berlaku insiden kebakaran melibatkan papan tanda. - Foto Sinar Harian


Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati keadaan terkawal dan semua pekerja serta pengunjung pasar raya tersebut berada di luar bangunan berkenaan.

Sebelum ini pada 10 Mac 2024, Pasaraya Mydin Manjoi di sini musnah terbakar berpunca daripada panel pembahagi elektrik di bilik stor tingkat atas premis berkenaan. - Sinar Harian