IPOH: Sebuah premis di Kawasan Perindustrian Sri Rapat, dekat sini, yang dijadikan tempat pengumpulan minyak diesel bersubsidi yang diseleweng terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada Jumaat.

Operasi ‘Ops Tiris’ yang dijalankan kira-kira jam 4.30 petang itu susulan hasil risikan dan pemantauan pasukan KPDN Perak selama dua minggu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kegiatan yang dipercayai telah aktif lebih setahun itu beroperasi di sebuah premis yang menggunakan papan tanda perniagaan menjual jubin bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Seramai lapan anggota KPDN Perak telah menyerbu premis berkenaan dan berjaya menyita 8,000 liter minyak diesel bersubsidi yang diseleweng, tiga mesin penyedut, 83 tangki minyak, serta dua lori lima tan.

“Kesemua barang yang dijumpai telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah sebanyak RM 121, 425,” katanya kepada pemberita selepas KPDN Perak menjalankan Ops Tiris di Kawasan Perindustrian Sri Rapat dekat sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail (depan).


Menurutnya dalam operasi berkenaan, dua lelaki tempatan yang dipercayai pemandu kepada dua lori tersebut serta seorang lelaki warga Bangladesh yang juga penjaga premis telah ditahan.

Katanya, penahanan ketiga-tiga individu itu yang berumur dalam lingkungan awal 50-an itu dibuat bagi dirakam percakapan untuk tujuan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Kamalludin berkata, antara modus operandi lain sindiket berkenaan adalah menggunakan dua lori yang mana tangki kenderaan itu telah diubah suai bagi membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sekitar bandar raya Ipoh.

“Dua lori berkenaan kemudian akan ke premis di kawasan perindustrian ini untuk memindahkan dan menyimpan minyak yang disyaki diesel itu dengan menggunakan mesin penyedut.

“Selain itu, kita mengesyaki mereka telah menjual minyak diesel itu kepada pihak industri tempatan dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran,” jelasnya lagi.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Pada masa sama, Kamalludin berkata, bagi tempoh Januari sehingga kini, KPDN Perak telah melakukan 12,127 pemeriksaan dengan 22 kes disiasat di bawah  Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, nilai rampasan yang terkumpul bagi tempoh sama adalah sebanyak RM1.82 juta.