KUALA LUMPUR: Pemantauan berkala perlu dilakukan ke atas minuman yang disediakan di semua acara anjuran kerajaan bagi memastikan keberkesanan langkah pengurangan gula dalam minuman, kata ahli akademik.

Prof Madya Dr Norazmir Md Nor dari Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA, Kampus Puncak Alam berkata langkah itu dapat memastikan pengusaha katering mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Dalam pada itu, laporan berkala juga perlu dibuat bagi memastikan matlamat pengurangan gula tercapai sekali gus meningkatkan keberkesanan dalam tindakan mengurangkan pengambilan gula," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagi mempromosi gaya hidup sihat, Jemaah Menteri memutuskan penggunaan gula dalam minuman yang disediakan di semua acara anjuran kerajaan dikurangkan 50 peratus berkuat kuasa 1 Ogos lepas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata keputusan itu diambil selepas laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 mendapati satu daripada enam orang atau 15.5 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia didiagnoskan sebagai penghidap diabetes.

Tinjauan juga menunjukkan kumpulan rakyat tertinggi yang menghidap penyakit tidak berjangkit itu berusia 60 tahun dan ke atas iaitu 38 peratus diikuti usia 50 hingga 59 tahun (28.8 peratus), 40 hingga 49 tahun (15.2 peratus), 30 hingga 39 tahun (6.5 peratus) dan 18 hingga 29 tahun (3.2 peratus).

Dr Norazmir turut mencadangkan penggunaan pemanis alternatif bagi menggantikan pemanis semulajadi seperti Stevia atau Erythritol kerana terdapat kajian menunjukkan pemanis alternatif dapat mengurangkan pengambilan gula tanpa menjejaskan rasa makanan dan minuman.

Beliau berkata selain itu, pengusaha katering juga boleh mengawal hidangan pencuci mulut dan minuman manis melalui pengurangan saiz hidangan dengan menyediakan pilihan kurang manis.

"Menawarkan minuman tanpa gula atau kurang gula seperti teh tanpa gula, air limau tanpa gula atau air kosong dapat mengurangkan pengambilan kalori dan gula secara keseluruhan," katanya.

Prof Madya Dr Zahara Abdul Manaf dari Program Dietetik dan Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia pula memberikan saranan supaya penganjur acara yang melibatkan menu untuk memilih makanan kurang gula, minyak, lemak dan masin.

"Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan panduan makanan sihat semasa mesyuarat sebagai panduan yang boleh dirujuk oleh kita semua," katanya menambah pengurangan itu perlu dijadikan polisi di tempat kerja termasuk memaklumkan kepada vendor makanan dan semua kakitangan.

Dalam pada itu, beliau berkata minuman bergula tidak perlu dihidang atau disediakan setiap kali waktu makan dengan keutamaan adalah menyediakan air kosong, air perahan limau segar atau teh hijau.

Sementara itu, bagi memastikan kempen 'perang' ke atas gula Kementerian Kesihatan berkesan dan berjaya, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial mengalu-alukan cadangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad supaya duti eksais ke atas minuman bergula (SBB) dinaikkan kepada 20 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif pusat itu Azrul Mohd Khalib berkata pengurangan penggunaan gula amat penting dalam menangani masalah obesiti di Malaysia.

"Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menganggarkan rakyat Malaysia mengambil secara purata 12 sudu teh gula sehari daripada minuman manis," katanya.

-- BERNAMA