Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil yang akan diperoleh akan dimanfaatkan untuk rawatan diabetes di negara ini serta menyediakan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang.
"Bagi menyokong langkah war on sugar, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter. T
"Tambahan hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam antaranya meliputi penambahan bekalan ubat SGLT2 inhibitors bagi kegunaan rawatan diabetes dan pusat dialisis di seluruh negara," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Dalam pada itu, sejumlah RM1.35 bilion disediakan bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.
Turut tidak ketinggalan ialah penaikan taraf klinik-klinik daif seluruh negara, dengan RM 300 juta diperuntukkan untuk tahun hadapan.
Sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, Perdana Menteri berkata RM27 juta disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.
Kerajaan juga bercadang memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri.