Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin hari ini mengutuk keras tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan rejim di Mesir yang beliau sifatkan telah membunuh rakyatnya sendiri.

Kenyataan itu dikeluarkan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Sabtu.

“Setelah merampas kuasa daripada Presiden Mohamed Mursi yang telah mendapat mandat jelas rakyat daripada proses pilihanraya yang telus & terbuka menurut lunas-lunas demokrasi, rejim haram Mesir bertindak diluar batas kemanusiaan untuk memadamkan kebangkitan rakyat dan bantahan sah penyokong Presiden Mursi,”

“Penggunaan senjata oleh sebuah rejim terhadap rakyatnya sendiri adalah perbuatan bacul & dayus yang wajib dikutuk & dikecam oleh keseluruhan tamadun kemanusiaan yang cintakan keamanan.”

Oleh itu beliau yang juga Naib Presiden Perkasa mendesak agar kerajaan memanggil Duta Mesir serta merta untuk menyatakan bantahan Malaysia terhadap perbuatan terkutuk ini.

Selain itu beliau juga menggesa Duta Malaysia di Kaherah dipanggil pulang sebagai tanda protes Malaysia terhadap tindakan diluar batas kemanusiaan ini.

Zulifli juga berharap Malaysia akan menggunakan pengaruh dan nama baik kita untuk meminta di panggil sidang tergempar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan OIC untuk bukan sahaja mengutuk tindakan rejim haram Mesir, tetapi mengambil tindakan tegas.

Ini termasuk memutuskan hubungan dengan rejim haram ini sehinggalah mereka mengembalikan kuasa pemerintahan kepada Kerajaan Presiden Mursi.